Enter your keyword

post

GANJARAN INFAQ DI JALAN ALLAH SWT

Allah Subhanahuwata’ala membuat perumpamaan pahala bagi orang yang menginfaqkan harta mereka di jalan Allah SWT, dengan menyatakan bahawa ganjaran untuk mereka adalah berlipat ganda sepertimana bergandanya sebiji benih apabila ia ditanam. Benih tersebut menumbuhkan tujuh tangkai yang terdapat padanya barakah. Dan pada setiap tangkai tersebut mengandungi seratus biji. Ini merupakan janji Allah SWT untuk orang yang menginfaqkan harta mereka di jalan-Nya. Allah SWT akan melipat gandakan ganjaran dan pahalanya, melebihi infaqnya. Dan Allah SWT akan menggantikan untuk mereka dengan ganjaran yang lebih baik.

Allah Subhanahuwata’ala Maha Mulia. Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa menggantikan harta untuk orang yang menginfaqkan harta mereka di jalan-Nya, dengan ganjaran kelebihan yang mulia.

Allah Subhanahuwata’ala menegaskan bahawa ganjaran perbuatan baik ini berbeza bagi setiap orang. Dan perbezaan ganjaran ini adalah berdasarkan keikhlasan dan keadaannya. Allah SWT saja yang lebih mengetahui hakikatnya yang sebenar. Dia sajalah yang dapat melihat segala amalan dan apa yang terpendam dalam hati manusia.

Allah Subhanahuwata’ala menjanjikan bagi golongan yang menginfaqkan harta di jalan-Nya dengan ganjaran yang besar di sisi-Nya. Allah SWT sajalah yang mampu menjamin sedemikian. Tiada seorang pun yang mampu menjamin untuk mereka selain Allah SWT. Allah SWT turut menjamin bahawa tiada ketakutan bagi mereka dengan dikurangkan ganjaran pahala untuk mereka. Malah tidak ditimpakan sesuatu pun daripada azab akhirat dan segala kedahsyatannya. Allah SWT juga menjamin bahawa mereka tidak bersedih hati dan tidak akan menyesal dengan amalan infaq ini. Lalu orang yang berinfaq mengetahui akan kemuliaan yang bakal diperolehi di sisi Rabb mereka.

No Comments

Add your review

Your email address will not be published.