Enter your keyword

post

SEJARAH QURBAN PADA ZAMAN NABI ADAM AS

Pada zaman Nabi Adam AS, Qurban dilaksanakan oleh anak-anak lelakinya yang bernama Qabil dan Habil. Kekayaan yang dimiliki oleh Qabil mewakili kelompok petani manakala Habil mewakili kelompok penternak. Pada waktu itu sudah adanya perintah, siapa yang memiliki harta yang banyak maka sebahagian daripada hartanya hendaklah dikeluarkan untuk Qurban. Sebagai petani, si Qabil mengeluarkan hasil pertaniannya untuk diqurbankan dan manakala sebagai penternak pula, si Habil mengeluarkan haiwan peliharaannya untuk tujuan qurban.

Kedua-dua manusia tersebut mempunyai sifat yang sangat berbeza. Habil mempersembahkan qurbannya iaitu seekor kambing yang gemuk dan sihat. Manakala Qabil mempersembahkan qurbannya iaitu beberapa tangkai gandum yang kurang baik. Ketika keduanya telah melaksanakan qurban, Allah telah menerima qurban Habil dan ditolak-Nya qurban Qabil.

Hal ini telah dijelaskan oleh Allah dalam Surah Al-Ma’idah ayat 27 yang bermaksud :
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka mempersembahkan satu persembahan Qurban (untuk mendekatkan diri kepada Allah), lalu diterima qurban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (qurban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu!” Habil menjawab: “Sesungguhnya Allah menerima (qurban) dari orang-orang yang bertaqwa.”

Menurut Ibnu Abbas, yang pernah didoakan Rasulullah: “Ya Allah, ajarkanlah kepadanya Al-Quran dan perdalamlah fahamnya dalam agama.” Menurut Ibnu Abbas, Qurban Habil ditempatkan di syurga beribu-ribu tahun. Kemudian itulah yang digunakan untuk menebus Ismail ketika akan disembelih oleh ayahnya Ibrahim.

Demikianlah asal syariat berqurban itu pada zaman Nabi Adam AS. Qurban Habil diterima oleh Allah kerana dia mengorbankan haiwan ternakkannya yang gemuk, yang sihat dan yang paling disayanginya. Sedangkan qurban Qabil ditolak kerana dia mengeluarkan hasil pertaniannya yang kurang baik.

Qabil marah lalu dia membunuh saudaranya sendiri iaitu Habil. Inilah yang diabadikan di dalam Surah Al-Ma’idah ayat 30 yang bermaksud: “Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia pun benar-benar membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.”

Dengan demikian genaplah dalam catatan sejarah bahawa dosa pertama yang diperbuat oleh manusia adalah kerana dorongan nafsu dan hasutan syaitan dimana Adam dan Hawa terlanjur memakan buah yang dilarang oleh Allah iaitu buah pohon Khuldi. Lalu mereka diusir dari syurga dan disuruh turun ke bumi.

Setelah keturunan Adam berkembang di bumi, terjadilah dosa yang kedua dimana Qabil telah membunuh saudaranya iaitu Habil. Kiranya dapatlah dimaklumi bahawa pokok pangkal dari segala dosa dan kesalahan adalah kerana memperturutkan dorongan nafsu serta termakan dek hasutan syaitan. Justeru itu, jika ia tidak dapat dikawal dengan baik, maka berkembanglah bermacam-macam dosa yang dilakukan di atas muka bumi ini dan manusia akan celaka jika sekiranya tidak mampu mengawalnya.

No Comments

Add your review

Your email address will not be published.